Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Sekolah-Sekolah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 Julai. - Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) bersama para pemimpin sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan Guru Pendidikan kerjaya di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Lawatan Ilmiah ke Kolej International Graduate Studies (KIGS).
Rombongan diketuai oleh Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, JSS, Dr. Andree Asmara bin Haji Abidin.
Rombongan dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni dan ahli pengurusan KIGS serta ahli majlis pelajar.
Semasa lawatan berkenaan, taklimat mengenai kursus-kursus dan fakulti telah disampaikan, diikuti dengan sesi soal jawab dan lawatan ke fasiliti kolej berkenaan. Pada akhir lawatan, Dr. Andree Asmara telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Awang Haji Mahrub.
Lawatan Ilmiah ke KIGS adalah merupakan anjuran pihak Unit Pendidikan Kerjaya, Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, JSS.
Objektif utama lawatan berkenaan adalah untuk mengetahui tentang jenis kursus yang ditawarkan pada masa ini dan yang baharu ditawarkan serta melihat kemudahan dengan lebih dekat serta persekitaran pembelajaran secara langsung.